
Bayu laut yang berhembus di senja itu menyapa lembut di wajahku.
Deruan ombak yang bercahaya itu pula berselang-seli menghempaskan diri ke pantai. Seolah-olah sedang melagukan irama yang syahdu.
Bunyi dedaunan bergeseran ditiup angin turut menceriakan lagi suasana.
Sekali-sekala terdengar nyanyian unggas bersahut-sahutan di dalam hutan di belakangku.
Betapa kicauan dan sahutan unggas menggambarkan keriangan suasana kepulangan di senja itu. Pulang dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Ilahi.
Ah... Tenang dan nyaman sekali rasanya.
Sudah beberapa kali aku ke sini, Pantai Keracut. Ya....... Di sinilah terbitnya pelbagai nostalgia yang sukar terpadam dari benak hatiku.
Pantai berteluk ini terbina dengan di kelilingi oleh hutan yang berbukit-bukau, paya dan lautan yang luas. Pertemuan di antara ketiga-tiga kejadian Allah itu telah menghasilkan satu dataran pantai yang indah.
Hutan tebal yang berbukit-bukau di belakangku itu juga pernah ku teroka ketika mencari suatu kedamaian yang hilang.
Paya di mana ikan berlari-lari di dalamnya juga pernah ku redah ketika melintas untuk sampai ke pasir yang memutih dan halus ini.
Ahh... Mengapakah begitu ramai manusia yang tak pernah menghargai dan mensyukuri kurniaan Tuhan. Mengapakah alam yang sebegini indah dicemari dengan noda dan dosa yang tak kunjung padam.......
“Oh.. sungguh indah ciptaan Tuhan...", getusku perlahan sambil membetulkan kedudukan punggungku di atas sebuah batang kayu yang entah telah berapa lama tersadai di pantai itu. Batang kayu ini juga menyimpan seribu satu hikmah. Kesetiaannya menunggu ketibaan ombak untuk membawanya pulang sedikit pun tidak pernah luntur. Ia tetap di situ. Setia menanti.
Sekali-sekala ombak-ombak kecil mencecah-cecah tubuhnya. Andainya ia boleh berbicara, sudah tentu ia akan berkata, “..kalian masih tidak berupaya untuk membawa ku pergi dari sini. Pulanglah... Pulanglah....”.
Mungkin kesedihan itu hanya dapat dirasakan oleh ia sendiri tanpa disedari oleh makhluk-makhluk lain. Namun, ia tetap bersabar. Menanggung derita bersendirian akibat dicabuli oleh tangan-tangan yang tidak pernah kenal erti kepuasan dalam hidup. Entahlah...... Aku pun tak tahu. Adakah aku juga salah seorang mangsa kepada kebuasan manusia-manusia yang rakus mengejar keduniaan. Fuuhh....
Kedinginan di senja itu terus menyelubungi diriku dengan seribu satu kenangan.
Aku terus memandang ke arah lautan yang terbentang luas di hadapanku.
Hembusan bayu dan cahaya mentari yang pulang begitu mengkhayalkan fikiranku.
Oh... Sungguh... Ia suatu nikmat kurniaan Tuhan. Hatiku berasa tenang. Nyaman. Mengasyikkan. Tapi, berapa ramaikah insan yang menyedarinya. Adakah orang lain juga sepertiku.
Tiba-tiba aku terkenangkan seorang insan yang sebelum ini pernah menjadi pujaanku. Kalau hendak dibandingkan dengan gadis-gadis lain yang pernah ku kenali, ternyata Lily adalah gadis termanis yang pernah ku temui. Lily..... Begitulah sebutan yang pernah dan sering bermain di bibirku. Lembut. Halus. Manja. Oh.... Indahnya suasana ketika kenangan menguasai jiwa.
Perkenalan pertama kami berlaku dalam satu suasana yang tidak dirancang.
Aku masih ingat bagaimana pertama kali pandangan mata kami bertembung di antara satu sama lain.
Di saat itu lahir satu getaran yang benar-benar menggetarkan jiwa dan imanku.
Aku terpukau. Terpukau dengan keindahan ciptaan Tuhan. Tiada perkataan yang dapat ku gunakan untuk ku gambarkan keindahan itu.
Senyuman manis pada bibirnya yang merah merekah itu mengalahkan senyuman Seniwati Sarimah yang pernah ku lihat di dalam filem-filem Melayu lama. Rambutnya yang lurus melewati bahu sudah cukup untuk menewaskan keanggunan Julia Rais.
Pipinya yang putih gebu macam kuih pau itu pula membuktikan kecomelannya. Potongan badannya bila berbaju kurung laksana seorang model yang baru sahaja bersara daripada profesionnya. Geraknya yang lembut menggambarkan kesopanan seorang gadis Melayu yang tiada tolok bandingnya lagi.
Aku terus berkhayal.... Hubungan kami yang terjalin selepas itu......
"Firrr....", aah... Tiba-tiba khayalanku dikejutkan oleh satu suara yang lembut dan halus.
"Uh..., oh... Nas...duduklah..", aku mempelawa gadis yang menyapaku itu untuk duduk di sisiku. Nasirah, begitulah namanya. Dia ni pun okey jugak, bisikku di dalam hati.
"Jauh termenung...", tegurnya sambil mengesat-ngesat batang kayu di sebelahku sebelum duduk. Kemudian dia terus duduk di sebelahku dengan bahu kanannya bertemu rapat dengan bahu kiriku.
"Eh takdelah.....", aku sengaja membiarkan dia di dalam keadaan termanggu-manggu begitu. Suasana kekuningan di senja itu tetap tidak terlepas dari pandangan mataku.
Sekali-sekala, aku menjeling-jeling ke arahnya dengan ekor mataku.
Rambutnya yang panjang dan lembut itu hampir menutup seluruh mukanya apabila ditiup oleh bayu laut yang dingin itu. Sesekali beberapa helai dari rambutnya mencucuk-cucuk pangkal mataku akibat ditiup angin. Uh.... Betapa anggun ciptaan Tuhan. Dia kelihatan manis dan manja sekali dengan T-shirt merah berlengan pendek dan jeans hitamnya.
Dari raut wajahnya yang putih kemerah-merahan itu tergambar kelembutan sikap sebagai seorang perawan.
Memang.... dia juga seorang gadis yang cantik. Dan aku tak dapat menafikan hakikat bahawa aku adalah pencinta pada kecantikan yang dijadikan Allah.
Tetapi bagiku, Lily melebihi segala-galanya.
Lily seorang gadis yang bersopan. Pakaiannya tiada lain melainkan baju kurung. Pernah suatu petang sewaktu kami sedang duduk dan minum bersama di salah sebuah restoran fast food di Komtar, aku bertanyakan kepadanya.........
“Lily........”.
“Emmmhhhh...”, sahutnya lembut sambil memandang ke arahku dengan pandangan mata seperti seorang isteri kepada suaminya. Senyumannya yang manis itu tak pernah lekang daripada bibirnya. Oh... Betapa tenangnya hatiku ketika pandangan mata kami bertemu di antara satu sama lain.
“Hujung minggu ni kita ke Padang Kota nak.......”
“Emmhh.. Padang Kota.....Ada apa kat sana...”, dia meminta kepastian sambil mengerutkan dahinya seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Ada pameran....”, jawabku ringkas. “Pameran lukisan-lukisan dari seluruh dunia... Dekat Dewan Sri Pinang...”, tambahku lagi bila ku lihat dia masih lagi mengerutkan dahinya.
“Oooo... Pameran lukisan.... Emmhh... Aaaa... Okey.... Nanti Lily tunggu kat depan pintu masuk Dewan Sri Pinang.... Pukul sebelas... Okey...”.
“Eh... Tak payah.. Nanti Fir jemput Lily di rumah pukul sepuluh...”, cadangku pula.
“Nak naik apa..”, soalnya dengan nada kehairanan kerana dia tahu aku memang tak ada kereta macam bapanya.
“Hari tu kita naik motor Fir... Okey...”, cadangku lagi dengan harapan semoga dia tidak menolak. Bagiku, RXZ yang aku miliki itu adalah juga pujaanku selain Lily.
Sebelum itu, kami tak pernah naik motor bersama. Kadang-kadang dia akan menjemputku dari rumahku dengan keretanya. Tapi selalunya kami akan berjanji untuk bertemu di suatu tempat. Dan dah tentu aku akan dijemput oleh drebarku yang juga drebar bagi orang lain. Cumanya aku terpaksalah bayar sedikit pada drebar aku tu.
“Isshkk.... Tak naklah....”.
“Apahal pulak.....”, aku pulak yang naik hairan.
“Malu....”, jawabnya sambil terus memandang ke bawah. Aku pun tak tahu apa yang dipandangnya. Mungkin juga dia sedang memandang kasutku yang baru ku beli minggu lepas. Seumur hidup aku, itulah kali pertama aku memakai kasut yang berjenama terkenal, Alfio Raldo. Mahal pulak tu. Seratus empat puluh lima ringgit. Entahlah... Aku pun tak tahu.
“Apa pulak yang nak dimalukaaan...”, tanyaku dengan nada memujuk.
“Lily seganlaa......”, jawabnya lembut dan manja. “Lagipun Lily tak ada seluar panjang sebab nak naik motor mesti pakai seluar kan...kan...kan...kan...”, katanya lagi.
“Ahh tak payah..... Kalau Lily pakai kain pelikat pun boleh naik motor jugak.......”, jawabku selamba.
“Emmmhhh.....Aaaa... Okeylah... Lily setuju...”, jawabnya sambil mencubit lenganku. Ishhk... Kalau dia nak cubit seratus kali pun tak pe. “Tapi nanti Lily tanya mak dulu okey....”.
“Eh.. Buat apa pulak nak tanya mak... Nanti dia tak bagi pulak karang.....”, kataku pula. Kedua orang tuanya memang agak sporting terhadap hubungan kami berdua. Tapi aku rasa terlalu segan dengan mereka. Mungkin kerana perbezaan darjat di antara keluargaku dengan keluarganya. Bapanya seorang kontraktor binaan bangunan salah sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang. Ibunya pula seorang guru besar di salah sebuah sekolah menengah di Seberang Perai. Sedangkan bapaku hanya seorang anggota Polis biasa. Tak ade pangkat pulak tu. Ibuku lagila. Surirumah aje. Walaupun begitu, Lily dan keluarganya tak pernah menyentuh tentang soal itu. Tapi, aku tetap segan dengan kedua orang tuanya. Dengan Lily.....memang aku tak pernah segan.
“Alaaaa...... Dia mesti bagi punya.....”, Lily memujukku. Isshhk... Ini yang aku tak tahan ni.
Dan seperti biasa, sifatku yang selalu belas kasihan pada orang lain terutama sekali pada perempuan akan mendahului keputusanku.
“Okey.... Okey.... Nanti Fir jemput Lily di rumah pada pukul sepuluh....”, sekali lagi aku memberi jaminan kepadanya.
“Macam ada masalah je...”, sekali lagi Nas mengejutkan lamunanku. Isshhk... Kacau daun lagi. Tangannya yang lembut itu mengusap-usap rambutnya ke belakang dan kemudian terus diletakkannya ke atas peha kiriku. Aduhhh...... Kehangatan tapak tangannya itu membuatkan aku terlupa sejenak akan Lily yang baru aku khayalkan tadi.
“Ah... tak ada apa-apalah.....”, jawabku malas sambil terus membiarkan tangannya mencubit-cubit seluar di peha kiriku umpama seorang tukang masak yang sedang mencubit-cubit sedikit daripada masakannya untuk dirasa.
Kadang-kadang aku terfikir jugak, kalau aku ‘tackle’ budak Nas ni, sure dapat punya. Tapi dia masih tidak sama dengan Lily. Sedangkan hanya orang seperti Lily yang mampu menakluk hati dan perasaanku.
“Teringatkan mak we jauh agaknye...”, dia bertanya sambil tersenyum. Alamak... Macam mana pulak dia tahu ni. Pada mulanya aku terasa ‘gabra’ jugak. Tetapi akhirnya aku dapat mengawal perasaanku.
“Kalau I ada mak we, dah tentu I tak ada di sini waktu ni...”, kataku selamba. Fullamak...!!!! Rasa macam bagus aje. Bagiku, apabila bercakap dengan seseorang perempuan, maka ayat mesti bagus. Baru perempuan boleh tertawan. Aahhhh... Bukannya susah sangat. Dengan bermodalkan sedikit air liur, aku sudah boleh menyebabkan seseorang perempuan itu tidur tak lena dibuatnya.
“Ummmhh....”, dia merungut dan mengeluh kecil sambil menguis-nguis pasir dengan hujung jari kakinya. Dia kemudiannya terus berhenti mencubit-cubit dan hanya membiarkan tangannya di atas pehaku itu. Mungkin kerana aku tidak menjawab soalannya. A
ahhhh... Biarlah.... Lebih baik aku pendamkan saja.Aku sebenarnya lebih tertarik pada suasana yang menguning di senja itu...... Dan kenangan ku bersama Lily.
Matahari yang kian terbenam menyerakkan warnanya yang gemilang keemasan. Aku terus berkhayal....
Kemudian aku teringat pula..... Petang semalam, ketika aku sedang duduk di hujung padang bola di tepi rumahku sambil memerhatikan budak-budak yang sedang leka dan seronok bermain bola......
“Abang Firrrr...”, aku dikejutkan oleh satu suara lembut dan mendayu. Aduhhh... Manjanya suara.
“Oo...Ayu.. Dari mana nii..”, aku terkejut sambil bertanya dengan spontan soalan yang biasa kutanya pada orang lain apabila terserempak dengan sesiapa pun.
“Dari rumah la...”, jawabnya lembut.
Aduhhhh...Lembutnya suara. Rasa macam nak suruh diulang kembali suara tu. Muka...Boleh tahan.....Comel jugak. Potongan badan...Eemmmh.....Mengancam...Ada potensi untuk jadi seorang model. Bisik hati kecilku.
“Kenapa abang Fir pandang Ayu macam tu.....”, soalnya kehairanan apabila menyedari dirinya direnung tajam. Ayu memang seorang gadis yang comel. Cuma, umurnya masih muda. Dia baru menjejakkan kaki ke tingkatan lima. Petang itu dia berseluar jeans ‘season’ berwarna biru muda dan berT-shirt putih kosong tidak berkolar. Fuh... Boleh tahan.........
“Eh tak ada apa-apalah...”, jawabku kemalu-maluan. “Apa hal Ayu......”, soalku bersahaja sambil memandang budak-budak yang tak letih-letih berlari-larian mengejar bola di padang tu.
Masa di sekolah dulu, aku pun seorang pemain bola juga. Tapi aku tak dapat peluang untuk bermain diperingkat yang lebih tinggi. Maka aku pun mengambil keputusan untuk berhenti bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bolasepak profesional. Tambahan pula ramai rakan-rakanku menasihatkan aku supaya bertukar ke profesion permainan tradisional. Entahlah...Mungkin juga kerana mereka gerun melihat caraku bermain. Aku dikatakan seorang pemain yang paling bahaya sekali apabila turun ke padang.
Entahlah.... Aku tak tahu kenapa. Aku tak pernah pun bawa turun apa-apa senjata tajam atau api ketika bermain. Mungkin juga gaya yang aku praktikkan semasa bermain tidak setanding dengan mereka. Apa tidaknya, seringkali yang menjadi sasaran kaki aku ialah kaki pemain-pemain lawan, bukannya bola.
“Saje jalan-jalan..”, jawab Ayu selamba.
Aku menjeling ke wajahnya yang sedang memandang budak-budak di padang tu. Uh... Memang comel. Comel sungguh.... Orang kata macam apa tu..... Aaaa... baby face... Kalaulah dia jadi makwe ku.... Tentu budak-budak lain di kampungku tangkap jealous.
GEDEBUK !!!!!!
“ADUH !! Kurang Asam !!”, aku menyumpah bila tiba-tiba aku merasakan seperti ada sebiji penumbuk yang besar hinggap di pipiku. Telingaku terngiang-ngiang dengan pelbagai bunyi serangga yang aku pun tak tahu dari mana datangnya.
“Maaf bang!!...Tak sengaja!!...”, jerit seorang budak ditengah padang.
Aku terus bangun dan bola yang hinggap dipipiku itu ku tendang sekuat hati ke tengah padang.
“Terima kasih bang !!”, jerit budak tu lagi.
Bengang sungguh hatiku dibuatnya tambahan bila kulihat Ayu ketawa terkekeh-kekeh. Kalau diikutkan hati, dah tentu kena sekeh budak Ayu ni.
Tanpa memandang ke arahnya aku pun terus blah.......
*****
“Nas.....”, tegurku lembut apabila ku lihat dia mula nak berkhayal.
“Eemmmhhh....”, balasnya dengan nada yang manja. Ishhk..... Geramnya.... Kalau diikutkan hati dah tentu aku gigit-gigit hidungnya.
“Nas rasa seronok tak dekat sini...”, tanyaku tanpa ku tahu apa sebabnya ku tanya dengan soalan yang sedemikian.
“Eemmmhh....seronok....”, jawabnya ringkas sambil mengalihkan tangannya dari atas pehaku.
“Apa yang Nas seronokkan...”, tanyaku lagi dan kali ni dengan semangat yang berkobar-kobar nak tahu jawapannya.
“Tenang...Sunyi...Damai......Pantai yang indah...”, jawabnya dan terus tunduk diam sambil menongkat dagu dengan kedua tangannya sambil meletakkan siku ke lututnya.
“Tak ade perkara lain lagi ke yang menyeronokkan Nas....”, aku bertanya sambil cuba mencungkil isi hatinya.
“Emmmhhh.... Apa dia haa.... Emmmhh...”, katanya sambil kelihatan sedang memikirkan sesuatu.
“Fir...”, kataku menguji.
“Apa maksud Fir..”, soalnya kehairanan.
“Iyelah... kehadiran Fir di sisi Nas pada ketika ini.....”, kataku dengan penuh keyakinan walaupun aku sedar pada ketika itu lututku sedang terketar-ketar tak tentu pasal.
“Issskhhh!!!... Apalah Fir ni...Merapulah.....”, reaksinya sambil bangun tersenyum.
Wow..... Manis jugak senyumannya.
Dengan perasaan yang agak gembira, aku turut bangun tapi pura-pura berlagak macho seperti tiada apa-apa yang berlaku di dalam perasaanku. Pada ketika itu aku merasakan bahawa tiada lagi saat yang lebih indah dan nyaman melainkan saat yang sedang aku hadapi itu.
“Nas... I yakin, you sedar tentang sesuatu yang wujud di dalam diri I...”, kataku sebagai pemula ayat romeo dengan penuh keyakinan sambil memandang ke arah matahari yang mula kemalu-maluan menyorok di balik ufuk.
“Apa yang you nak katakan ni Fir...”, soalnya. Entahlah, aku tidak tahu samada dia berpura-pura tidak tahu tentang perasaanku ataupun memang dia tak tahu.
“Andainya you berikan kamus setebal sepuluh inci pun pada I, nescaya tiada perkataan di dalamnya yang dapat menafsirkan sesuatu yang sedang bergejolak di dalam hati dan fikiran I Nas...”, kataku lagi dengan lebih berkeyakinan. Chewahhh... Rasanya macam sedang berlakon di hadapan kamera pulak walaupun pada hakikatnya aku memang sedang berlakon di hadapan seorang perempuan.
“Come on Fir... Apa yang you nak katakan tu... Just straight to the point...”, desaknya pula.
“Nas..... Emmhh...”, sebutku dengan lebih berhati-hati dan lembut. Maklumlah nak tunjuk ‘gentle’. “Entahlah... I pun tak tahu apa yang harus I katakan pada you...”, tiba-tiba aku jadi blank. Cisss!! Celaka betul..!!! Tak tahu apa pulak ayat yang sesuai untuk aku luahkan padanya.
“Akak!!....Akak!!....”, tiba-tiba terdengar suara yang lebih halus memanggil-manggil Nas yang sudah tentunya membantutkan usaha ‘murni’ ku itu. Ciss!! Kacau daun betul !! Getusku di dalam hati.
******
“Mak......”, sebutku lembut pada suatu pagi pada ibuku yang sedang menyiang ikan yang baru dibeli di pasar. Begitulah ibuku. Kerjanya seharian sebagai surirumahtangga sepenuh masa memang tak pernah habis. Biasanya dia ke pasar dua hari sekali untuk membeli barang-barang dapur buat mengisi perut tujuh orang di rumah termasuk aku. Tak cukup dengan itu, dia juga mengambil upah menjahit pakaian dan menjaga seorang anak kecil salah seorang daripada jiranku yang bekerja.
“Haaa.... “, balas ibuku endah tak endah dan terus menyiang ikannya yang aku rasa dah naik muak untuk memakannya. Apa tidaknya, asyik-asyik ikan cencaru dengan ikan kembung aje. Sampai kadang-kadang aku rasa perutku dah naik kembung akibat penangan daripada ikan kembung tu. Sekali-sekala belilah ikan emas ke, ikan lumba-lumba ke, ikan todak ke, barulah ada selera sikit nak makan. Tapi malas nak ku ajukan pada ibu sebab nanti tak pasal-pasal ada yang makan sengkalan tempat penyiang ikan tu.
“Ah.. Tak ada apa-apalah....”, kataku pula dan terus bangun berjalan ke anjung rumah. Sambil tu sempat juga aku menjeling ke arah ibuku yang termanggu-manggu kehairanan memandang aku.
Aahhhh... Biarlah. Aku sebenarnya nak tanyakan pendapat ibuku tentang gadis yang sesuai untuk dijadikan bakal isteriku, tetapi tiba-tiba tak sanggup pula aku nak tanya. Entah..... Aku pun tak tahu kenapa. Takut agaknya.
Di anjung aku lihat dua orang adik lelakiku yang masing-masing dalam darjah tiga dan satu sedang leka melukis sambil meniarap. Aku pun tak tahu apa yang dilukis oleh mereka. Begitulah kerja mereka bila tiba cuti sekolah. Pagi-pagi melukis dan bergaduh, petang-petang berhempas-pulas berlari-larian di padang bola di tepi rumahku.
Walaubagaimanapun, aku cukup bangga dengan kedua orang adikku ini. Aku mempunyai sebab yang tersendiri untuk berbangga dengan mereka. Walaupun mereka masih kecil tetapi bakat ayahku yang memang terkenal sebagai seorang pembuat frame atau bingkai gambar yang kreatif telah turun diwarisi mereka. Cuma bezanya mereka masih tidak tahu bertukang. Jadi yang menjadi pahat dan penukul mereka ialah pen, pensil dan kertas. Jaaadilaah....
Ayahku pula memang jarang berada di rumah. Dia sering menghabiskan masanya dengan mencari bahan-bahan pertukangannya. Aku pun tak tahu ke mana dia selalu pergi.
Walaupun sebenarnya dia masih menjadi seorang anggota polis tetapi perwatakannya tidak seperti seorang anggota polis yang sebenar. Entahlah... Mungkin kerana dia sedang menunggu masa untuk pencen sahaja. Dan aku rasa itulah yang sebenarnya kerana aku sering mendengar ibuku merungut tentang hasrat ayahku yang hendak cepat pencen. Ibuku marah sebab kalau dah pencen cepat nanti anak-anak nak bagi makan apa katanya.
Aku malas nak masuk campur dalam hal itu. Bagi aku, kalau ada rezeki, di mana-mana pun kita boleh dapat, cuma yang pentingnya keyakinan kita pada Tuhan dan usaha yang kita jalankan.
Dua orang adikku yang lain masing-masing tinggal di asrama sekolah mereka. Yang seorang di Perak dan yang seorang lagi di Pulau Pinang. Dalam adik-beradikku, aku hanya mempunyai seorang adik perempuan, yang sedang belajar di salah sebuah sekolah berasrama di Pulau Pinang. Entahlah... Aku pun tak tahu samada dia dah betul-betul bersedia untuk menghadapi peperiksaannya ataupun tidak. Kadangkala aku naik bengang jugak. Bila dia pulang ke rumah di waktu cuti-cuti sekolah, buku tak pernah disentuhnya. Asyik-asyik tengok TV dan baca buku-buku kartun yang tentunya mempengaruhi pemikirannya seperti Gila-gila, Gelihati, Ujang dan sebagainya. Entahlah.....
******
Setiap kali aku berseorangan, maka di ketika itu pasti Lily akan menjelma di depanku. Aku tak tahu kenapa. Sudah puas aku cuba melupakannya. Tapi, semakin aku cuba untuk melupakannya, semakin aku tidak dapat melupakannya. Aku sebenarnya bukan nak melupakannya sangat. Tapi ingatan aku terhadapnya membuatkan aku sering rasa bersalah. Bersalah padanya. Pada keluarganya. Pada keluargaku. Pada diriku sendiri. Dan yang paling gerun, pada Tuhan. Ohh...
Lily sepatutnya sudah tiada lagi di dalam hidupku. Tetapi aku tak pernah berjaya untuk melupakannya. Aku masih teringat antara kata-kata yang pernah Lily luahkan padaku......
“Firrr.....”.
“Emmhh......”.
“Dulu.... Lily pernah dikecewakan....”, katanya dengan nada sedih.
“Sudahlah Lily.... Janganlah dikenang lagi perkara-perkara yang merunsingkan hatimu....”, pujukku dengan suara yang lembut. Bagiku, hatinya mesti dijaga dan dipelihara dengan baik. Aku tak sanggup lagi untuk membiarkan diriku terkecewa buat kesekian kalinya. Tambahan pula Lily juga pernah menghadapi keadaan yang sama.
Petang itu, Lily menceritakan segala-galanya tentang hubungannya dengan seorang pemuda sebelum bertemu denganku. Aku hanya mendengar apa sahaja yang diluahkannya. Wajahnya tak lepas daripada pandanganku hinggalah airmatanya jatuh bercucuran bak titisan air hujan yang jatuh melalui dedaunan pepohonan yang rimbun.
Petang itu, pantai, angin, laut, batu-batu, pasir dan beburung yang berterbangan menjadi saksi pada perbicaraan yang berlaku di antara aku dan Lily.
“Firrrr....”, katanya.
“Lily dah tak sanggup lagi menghadapi semua itu Fir....”, katanya dengan teresak-esak menahan sebak di dada. “Lily tak sanggup Fir....”, katanya lagi dan kemudian airmatanya terus berhamburan keluar dari kelopak matanya yang redup itu.
Kemudian dia terus melekapkan mukanya ke bahu kiriku. Esakannya semakin kuat. Lengan bajuku semakin lama semakin kuyup dengan airmatanya. Kehangatan airmatanya itu menunjukkan padaku bahawa Lily sudah tidak mampu lagi untuk mengawal perasaannya.
Batu tempat kami duduk tu pun tentu turut merasakannya.
“Sudahlah Lily......”, kataku lembut sambil mengusap-usap rambut di telinganya. Kemudian aku meletakkan kedua-dua tanganku ke atas kedua-dua belah bahunya.
Dia masih tunduk teresak-esak. Aku terus berdiri sambil tanganku masih terus memegang bahunya. Dia turut berdiri.
“Lily..... Mungkin Fir tidak dapat melahirkan keperitan kekecewaan yang pernah Fir alami sebelum ini..... Tetapi apa yang kita hadapi hampir serupa....”, pujukku dengan nada yang lebih lembut.
“Lily.......”, sebutku lagi sambil ku dongakkan wajahnya. Perlahan-lahan ku angkat dagunya dengan hujung kedua jari telunjuk dan hantuku. “Fir faham akan perasaan Lily.....”, sambungku kemudiannya. Ketika itu mata kami bertentangan di antara satu sama lain.
Aku dapat melihat jernihan yang bertakung di kelopak matanya. Dia menggigit-gigit bibirnya untuk menahan sebak dan esakan tangisnya.
“Lupakanlah segala-galanya sayang.... Anggaplah semua yang berlaku itu seumpama mimpi di dalam tidurmu..... Lily.......”, kataku lagi. “Fir tidak tahu samada Fir dapat menjanjikan apa-apa buat Lily..... Cuma apa yang masih terpendam di dalam hati ini adalah..........”, kata-kataku terputus di situ. Aku tidak dapat meneruskannya lagi kerana dia masih tidak dapat mengawal perasaannya. Kedua tapak tangannya dilekapkan ke mukanya dan kemudian terus merebahkan kepalanya ke dadaku. Kini, baju di bahagian dadaku pula yang mula dibasahi dengan air matanya.
Aku tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menolak kedua-dua bahunya perlahan-lahan sambil mententeramkannya. “Sabarlah Lily... Biarkanlah segala-galanya berlalu bersama masa.... Seandainya Lily menaruh kepercayaan pada Fir..... Fir sanggup menyerahkan bahu ini buat dibebani dengan suka dan dukamu sayang.....”, aku pun tidak tahu macamana aku boleh berkata demikian.
“Firrr.....”, sebutnya dengan nada yang terketar-ketar. “Apakah Fir boleh menerima kehadiran Lily dalam hidup Fir...”, dia bertanya dengan suara yang terputus-putus akibat menahan esakan tangisnya itu.
“Lilyku sayang...... Persoalan itu tak seharusnya timbul di dalam hatimu..... Percayalah..... Seandainya direstuhi Ilahi, kita tetap akan bersama buat selama-lamanya...”, aku cuba meyakinkannya sambil membiarkan tapak tangan kanan dan ibu jariku mengusap-usap pipinya. Hangat... Hangat bersama basahan airmatanya.
Dia mendongakkan kepalanya lalu merenung jauh ke dalam mataku. Secara spontan kami merenung ke dalam mata di antara satu sama lain. Hatiku tiba-tiba berdebar-debar. Aku dapat merasakan seolah-olah ada suatu sinaran yang halus sedang menembusi mataku lalu terus menujah ke lubuk hatiku. Mukanya kini semakin lama semakin hampir dengan mukaku. Semakin rapat. Aku kaku. Kedua tanganku bagaikan terlekat di kedua-dua belah bahunya. Matanya menjadi semakin layu dan kuyu macam orang yang sedang mengantuk. Kini cuma tinggal beberapa sentimeter lagi sebelum mulut kami bertembungan di antara satu sama lain. Tiba-tiba aku tersedar. Fuuhh... Aku mengeluh kecil. Aku tidak sepatutnya bertindak melulu melampaui batasan suci. Lalu terus ku lekatkan kedua jari telunjuk dan jari hantuku ke bibirnya. Kemudian kubisikkan padanya.....
“Sayang....... Di antara kita masih ada batasan yang perlu kita hormati...”. Kami kemudiannya berpimpinan tangan dan terus berjalan melalui pasir-pasir halus di pantai itu sambil membiarkan air laut yang mencecah pantai itu menjilat-jilat di hujung kaki.
“Firr..... Biarlah apa jua yang berlaku di antara kita... Lily ingin terus bersama Fir...”, katanya dengan suara yang di antara dengar dan tak dengar. Hempasan ombak dan angin yang berhembus membuatkan kami terlalu asyik dengan kata-kata asmara.
“Lily...... Berdoalah...... Semoga kita akan terus bersama..... Selamanya...”, kataku pula. Kami terus menikmati keindahan petang itu hingga mentari terbenam di ufuk timur.
******
Hari-hari yang berlalu terasa begitu membosankan. Aku menjadi resah. Gelisah. Namun masih tak ketahuan punca. Malam itu aku seperti orang yang kehilangan sesuatu. Sekejap ke bilik. Sekejap ke ruang tamu. Sekejap ke dapur.
Jam menunjukkan pukul sembilan. Ayahku dah lama tersadai di atas kusyen di ruang tamu. Letih bekerja seharian agaknya. Kedua-dua adik lelakiku dah hanyut awal-awal lagi sebab besok pagi nak ke sekolah awal. Ibuku sedang menguli tepung di dapur. Dah tentu nak buat kueh untuk jualan esok. Aku...... Aku pun tak tahu apa yang sedang aku lakukan. Dah gilakah aku ni. Macam orang tak ketahuan punca aje.
Aku bosan. Bosan..... Tapi, apa yang membosankan. Ahhh.... Aku pun tak tahu..... Aku kemudian terus ke bilik.
Helmet..... Tiba-tiba helmet yang terletak di atas almari pakaianku memberiku satu idea. Aku terus mencapai jeans lusuhku yang tersidai di balik pintu lalu terus ku sarung.
Kain pelikat yang ku pakai sebentar tadi ku campakkan aje ke atas katil. Mak dah tentu berleter. Ahh... Pedulikan...
Kunci... Di mana pulak aku letakkan kunci motorku tadi.
Dalam laci..... Terus ku tarik laci mejaku dan ku selongkar isinya. Tak ade pun.
Atas meja.... Tak ade jugak. Eh..... Ke mana pulak perginya kunci motor aku tu. Takkanle dia boleh berjalan sendiri.
Tutt!! Tutt!!..... Tutt!! Tutt!!.... Ahh... Kacau betul telefon ni. Aku bergegas ke ruang tamu untuk menjawab panggilan telefon itu. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah kerana gangguan itu.
Tiba-tiba aku terlihat kunci motorku bersebelahan telefon. Baru aku teringat, petang tadi selepas balik dari padang, aku telah menelefon seorang kawan lamaku. He... He... Nasib baik telefon berbunyi. Sementara itu telefon terus berbunyi. Tutt!! Tutt!!
“Oooi..... Tak de orang angkat telefon ke..!!!”, tiba-tiba aku terdengar ibu menjerit dari dapur di belakang.
“Kejap.... Kejap... Nak angkat la ni....”, aku terus menjawab.
“Hallo..... Waalaikumussalam.... Siapa..... Ya.. Ya... Fir bercakap.... Siapa tu.... Zai ..... Nanti kejap..... Zai yang mana ni... Lupala.... Aaaa... Sekolah..... Padang Tembak..... Haaa.... Ya... Ya.... Baru teringat..... Ya... Ya.... Eh.. Apa kabar.... Lama tak dengar berita. Tengah buat apa sekarang ni... Aaaa... UM..... Wow..... Cayalah Zai.... Ooo..... Tengah bercuti.... Kat mana ni.... Rumah..... Fuiyyo..... Apa mimpi telefon Fir ni.... Aaa... Saje.... Eh betulke..... Rindu kot...... Boleh jugak.... Ha..ha..ha... Cuti berapa lama.... Aaaa... Sebulan.... Ye ke..... Tak, tak sibuk..... Apa... Tak, cadangnya nak keluar makan angin kejap.... Aaaa... Tak tahu la nak pergi kat mana.... Kenapa, nak ikut ke.... Iyee.... No problem, Fir boleh bawak... Tapi, nanti tak ade orang marah ke.... Manalah tau, kot-kot nanti pak we Zai marah Fir pulak.... Aaaa... Belum ade pak we lagi..... Betuike..... Takkan la orang cute macam Zai tak ade pak we lagi..... Kat UM kot.... Eh eh, janganla merajuk pulak, melawak aje ni.... Okey okey, nanti Fir jemput Zai..... Tapi kat mana.... Aaaa.. Depan public phone.... Kat mana tu.... Ooo ya ya, Fir ingat... Okey okey, Fir pergi ni.... Naik apa lagi, naik motor Fir la.... Ya ya.... Okey okey... Tunggu tau.... Okey okey bye... Waalaikumussalam......
Bala.... Bala... Memang bala betul. Lepas satu-satu.
Aku pun naik hairan, macamana di ketika aku tengah tak tentu arah ni muncul pulak kawan lama. Awek pulak tu. Ishhk... Macamana nak buat niii..... Tadi dah janji nak bawak dia keluar sekali. Ishhhkk.... Apala mulut aku ni. Celupar betul. Cepat sangat mengajak budak tu. Ciss..!!! Mulut aku ni memang tak boleh diharap langsung. Tapi kalau tak boleh harap, nak makan pun guna mulut jugak. Ahh.. Pening aku dibuatnya. Macamana ni... Nasib baik Lily tak ade di Penang masa ni. Pergi KL. Rumah sedara katanya.
Entahlah.... Yang penting sekarang aku dah terlanjur mengajak Zai keluar. Aku memang bernasib baik sebab Lily sedang berada di KL.
Oh Lily.... Aku bukan hendak mengkhianatimu. Tapi aku telah terlanjur dan kini terdesak dengan keterlanjuranku. Lily... Maafkan Fir yee... Fir janji.... Sekali ni aje. Lepas tu Fir tak buat lagi. Okey.... Ishhkk... Apala aku ni. Fikir apa lagi. Cepatla sikit. Zai tengah tunggu tu.
******

2 comments:
Assalamualaikum
Perghhhh ... jiwang gile lentok...hahaha
Nih nak kene buat kajian sastera nih...
Akhirnya....hasil karya you telah berada di alam cyber hahaha! Wa dah anticipate dah....hehehe....Teruskan perjuangan....
Post a Comment